Wednesday, August 15, 2018

Hikmah Ibadah Haji

Pada setiap 10 Zulhijjah.,jemaah haji akan memasuki fasa akhir melaksanakan ibadah. Selepas berwukuf di Arafah pada 9 Zulhijah, mereka akan melakukan ibadah melontar di jamrah.

Sesungguhnya sama ada berwukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah dan melontar di Mina kesemuanya mempunyai signifikan tersendiri dalam istilah kemuncak pengorbanan jemaah haji.

Wukuf pengorbanan paling besar

Cuaca adalah cabaran paling utama, kadang-kadang terlalu panas dan terlalu sejuk semasa musim sejuk. Ertinya di situlah kemuncak pengorbanan kita untuk mengabdikan diri kepada Allah.

Di Arafah, Allah mahu lihat apakah kita menggunakan waktu untuk berdoa kepada-Nya atau adakah sekadar mencukupkan syarat sahaja seperti dihabiskan dengan makan minum dan tidur.

Hari Arafah sewajarnya  dipenuhi dengan solat, doa dan zikir serta penyerahan diri kepada Allah melalui doa taubat dan pengharapan supaya Allah SWT mengampunkan dosa.

Semua itu adalah pengorbanan dan satu mujahadah memperjuangkan jiwa sama ada akan tunduk atau tidak kepada Allah SWT.

Kadang kala kalau tidak tunduk kita akan hilang sabar, makan pun tidak berselera, kalau macam itu bagaimana kita mahu menghadapi rintangan lebih besar?

Hikmah hidupkan malam

Selepas wukuf di Arafah, jemaah haji bergerak ke Muzdalifah untuk berada di situ dari waktu malam hingga subuh. Allah SWT mahu memberi pengajaran bahawa waktu malam sangat berharga, bukan sahaja di Muzdalifah tetapi setiap malam di mana pun kita berada. Waktu dua pertiga daripada malam adalah masa untuk bermunajat.

Allah SWT mahu menyatakan kepada kita, kalau mahu dekat dengan-Nya, kita mesti hidupkan malam dengan zikir munajat.

Kenapa kita pergi Muzdalifah pada waktu tengah malam? Ia kerana kita mahu mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Ganjaran di sebalik pengorbanan

Setiap  pengorbanan yang dilakukan, Allah akan balas dengan pahala. Kita hendak pergi melontar setiap langkah dan titik peluh diberi beribu-ribu ganjaran pahala. Batu yang dilontarkan itu akan menjadi saksi di akhirat dan berdoa agar kita boleh masuk syurga.

Sabar hadapi dugaan

Di sebalik pengorbanan yang dilakukan, ada ganjaran besar diberikan Allah SWT. Jika berjaya melaluinya, apabila pulang nanti akan ada perubahan dalam kehidupan atau sebaliknya.

Kehidupan selama tiga hingga empat hari (wukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah dan melontar di Mina) merangkumi kehidupan kita seperti rintangan syaitan dan perlu bersabar menghadapi dugaan.

Semasa melaksanakan semua ibadah itu Allah uji dengan makanan tidak bersesuaian dengan selera. Diuji adakah semasa berhimpun beramai-ramai boleh atau tidak kita beribadah kepada-Nya.

Semasa berhimpun, apa yang kita cakap, apakah berkaitan soal agama atau hal dunia. Oleh itu jemaah haji perlu faham apakah hikmah di sebalik pengorbanan yang mereka lakukan melalui perintah menunaikan ibadah haji.

Mina - Buang sifat syaitan dalam diri

Jemaah haji berada di sini selama empat hari mulai 10 hingga 13 Zulhijah bagi melaksanakan wajib haji iaitu melontar jamrah.

Ia simbolik melontar sifat-sifat syaitan dan mazmumah yang ada dalam diri. Sebagaimana kesediaan Nabi Ibrahim a.s. untuk menyembelih Nabi Ismail a.s. biarpun bukanlah mudah melakukannya terhadap anak yang disayangi, tetapi disebabkan patuh kepada perintah Allah SWT,  baginda tetap mahu melaksanakannya.

Begitu juga dengan kita. Musuh kita ialah syaitan yang akan merosakkan, syaitan tidak pernah putus asa menggoda manusia. Sekurang-kurangnya ada tiga lapisan godaan syaitan sebab itulah kita melontar di tiga jamrah. Jika tewas dalam lapisan pertama, kita pergi ke lapisan kedua, Insya-Allah kita akan berjaya tetapi kalau tewas di situ maknanya tewaslah kita.

Lapisan ketiga itu bererti sudah sampai ke tahap pengorbanan, di situlah barulah syaitan tidak  akan ganggu kita.

Berada selama tiga hari, tiga malam dan melaksanakan aktiviti serta dalam keadaan jemaah yang ramai, semua itu adalah cabaran paling utama sekali adakah kita boleh melaksanakan perintah Alllah SWT dalam masa yang lama. Persoalan taat kepada Allah itu bukan untuk tempoh sehari dua tetapi sepanjang umur.